Jan 28, 2009

kenapa.sering.gagal.dalam.hidup?

Ramai berpendapat masalah ini merupakan berpunca dari masalah spiritual. Ianya bermaksud perjalanan kehidupan atau rezeki kita terhalang disebabkan terdapat `sesuatu’ yang menghalang kita dari berjaya. `Sesuatu’ itu mungkin datang daripada niat jahat orang lain atau masalah keturunan iaitu saka. Pendapat ini tidak saya sangkal tetapi saya mempunyai takrifan yang berbeza tentang masalah spiritual. Masalah spiritual pada pandangan saya ialah masalah kekuatan jiwa seseorang itu. Jika seseorang itu mempunyai jiwa yang kental dan mantap makanya beliau akan mudah mengendalikan perjalanan kehidupan serta kerezekiannya dengan mudah. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga kaum itu sendiri mengubahnya. Makanya kita diberi peluang untuk mengubah corak serta taraf hidup kita tetapi kita perlu tahu cara dan kaedah yang betul-betul membawa kepada perubahan positif. Untuk mengubah nasib itu perlu jiwa yang kental dan mantap dan bukan hanya minda yang positif. Minda yang dikatakan positif belum tentu mempunyai jiwa yang mantap. tetapi jiwa yang mantap sudah tentu 100% mempunyai minda yang positif. Jadi perubahan itu perlu bermula dengan jiwa, tanpa jiwa minda tidak mampu melakukan proses pemikiran.



Kita sering gagal dalam hidup kerana kita hanya menggunakan minda sebagai pemandu arah dalam segala aspek kehidupan. Apabila minda kita berserabut atau berada dalam tekanan maka seringkali keputusan yang dibuat itu salah atau tidak mendatangkan hasil. Situasi ini akan membuat kita lebih tertekan dan sebarang tindakan atau keputusan susulan akan lebih membawa kepada ketidakberhasilan. Dalam keadaan ini kita dapat melihat wajah mereka tidak ceria, muram serta membosankan. Apabila wajah atau expresi diri ini ditonjolkan kepada umum pastinya jawapan untuk apa jua soalan bertukar negatif. Dan ini menyebabkan mereka hilang keyakinan diri, menjadi pemarah dan secara tidak langsung kesihatan lahiriah terganggu. Jika hal ini tidak diubah, perjalanan kehidupan seseorang itu akan terganggu terutamanya hal-hal yang melibatkan wang ringgit.



Jika anda sering gagal dalam hidup, apa yang perlu anda lakukan ialah keluar dari kepompong minda yang selama ini anda gunakan untuk mencari penyelesaian kerana apabila anda berada dalam tekanan anda akan menjadi tidak rasional dan seringkali keputusan yang dibuat tidak mendatangkan hasil bahkan menambahkan beban. Anda perlu mencapai ketenangan jiwa kerana jiwa yang tenang adalah jiwa yang mantap yang mampu menjana minda positif dan mampu memberi jalan penyelesaian dalam setiap masalah. Jiwa yang tenang akan selalu mengingat kepada Penciptanya dan jiwa akan lebih mantap hasil kerana keyakinan yang jitu kepada Allah swt. Jiwa yang tenang dapat dicapai melalui kaedah meditasi super sedar dan dalam Islam keadaan meditasi super sedar ini dapat dicapai dalam solat yang benar-benar khusyuk. Dalam kekhusyukan itu segala permasalahan akan hilang kerana jiwa kita berada dalam keadaan yang begitu tenang. Apabila jiwa kita tenang dan mantap maka segala tindakan kita lebih baik dan berjaya serta kita yakin bahawa segala usaha perlu kita lakukan tetapi keputusan adalah hak milik Allah swt.

No comments:

Post a Comment