HARGA minyak mentah global terus menjunam ke paras terendah dalam tempoh empat tahun ketika ditutup di Amerika Syarikat (AS) kelmarin selepas pengumuman data pekerjaan negara itu yang lemah, sekali gus meningkat jangkaan berlaku penurunan dalam permintaan tenaga.Kontrak hadapan minyak mentah bermutu, 'Light, Sweet' bagi penghantaran Januari ditutup pada AS$40.81 setong di New York Mercantile Exchange (Nymex) awal pagi kelmarin, susut mendadak AS$2.86 setong daripada penutup pada Khamis lalu.Kontrak New York itu menghampiri paras sokongan psikologi AS$40 apabila merosot ke paras AS$40.50 setong dalam dagangan hariannya, terendah sejak Disember 2004.Di London, minyak mentah 'Brent North Sea' bagi Januari susut AS$2.54 setong untuk ditutup pada AS$39.74 setong, paras terendah sejak Januari 2005.Harga minyak menyambung aliran penurunannya selepas Jabatan Buruh AS melaporkan bahawa majikan di
negara itu mengurangkan 533,000 pekerjaan pada November, justeru melonjakkan kadar pengangguran kepada 6.7 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 15 tahun sejak Oktober 1993.Kadar kehilangan pekerjaan adalah yang tertinggi dalam tempoh 34 tahun dan lebih tinggi berbanding jangkaan awal sebanyak 325,000 pekerjaan, justeru, menggambarkan kemelesetan di negara ekonomi terbesar dunia itu adalah lebih teruk dan akan berlarutan melampaui jangkaan.Harga minyak setakat ini sudah merosot lebih dua pertiga daripada paras tertinggi AS$147 setong yang direkodkan pada 11 Julai lalu, selepas penurunan teruk ekonomi global serta kelemahan permintaan.Dalam penurunan drastik, harga minyak merosot ke bawah AS$45 setong pada Rabu lalu, paras terendah sejak 2005.Ekonomi AS, Zon Eropah, Jepun dan beberapa negara utama lain sudah terjebak dalam kemelesetan dan pelabur kini bimbang mengenai berlaku penurunan permintaan minyak di kalangan negara maju dan kelembapan ekonomi negara baru muncul.
No comments:
Post a Comment