Mar 22, 2010

Titipan Untuk Direnungkan

Tiga wanita terkorban dek kes ragut. Kejam memang kejam. Tapi, jangan kita salahkan polis. Kita gesa kerajaan, mulakanlah gerakan bersepadu membanteras jenayah remaja, daripada kes rempit, kes ragut, kes ponteng sekolah, kes lepak, kes hidu gam, menghisap dadah dan sebagainya.

Kerahkan polis, Rela, askar, penguatkuasa agama dan seluruh agensi kemasyarakatan lainnya, termasuk yang di bawah tanggungjawab Shahrizat supaya hapuskan jenayah remaja dengan segera.

Pendek kata gerakan bersepadu ini perlu membabitkan seluruh agensi dan kementerian membabitkan penguatkuasaan undang-undang, pembangunan dan kesejahteraan insan serta belia dan sukan.

Mula-mula sekali lakukan gerakan sepadu di Putrajaya. Siasat betapa seriusnya kes ponteng sekolah, kongsi gelap, penagihan dadah, bohsia, rempit, lepak dan lain-lainnya di Ibu Pentadbiran Negara ini. Buat lawatan mengejut ke sekolah-sekolah rendah dan menengah di Putrajaya. Buat serbuan waktu malam bagaimana sesetengah remajanya lepak dan khayal. Kerahkan seluruh jabatan di Putrajaya kerana majoriti penghuni di sana adalah kakitangan kerajaan. Lepas itu buat pengisian minda dan program kesedaran yang berjadual dan berterusan. Jangan fasiliti di Putrajaya saja yang world class tapi remajanya third class dan menuju kehancuran.

Adakan juga gerakan bersepadu ini di seluruh negara. Pastikan pendekatan dan sasarannya. Libatkan ahli parti pemerintah di semua peringkat. Jangan hanya pandai cakap tapi buat kerja segan silu.

Jika tidak, hancur bangsa Melayu. Baik Melayu bandar baik Melayu kampung. Remaja dan belia Melayu kini seolah-olah jadi sasaran kehancuran yang distrategikan oleh tangan yang ghaib. Siapa mereka jangan peduli. Yang mesti dibuat, bertindak sekarang dan dengan segera. – http://politica-net.blogspot.com

No comments:

Post a Comment